From Qur'an || From Hadith

From Qur'an Surah Al-An'am (The Cattle) 6:164

Say: "Shall I seek a lord other than Allah, while He is the Lord of all things? No person earns any (sin) except against himself (only), and no bearer of burdens shall bear the burden of another. Then unto your Lord is your return, so He will tell you that wherein you have been differing."

None can bare the burden of another... meaning each of us are responsible for our own actions in this life. we better be sure that we are following the correct understanding of Islam, within the guidelines of the Qur'an and the Sunnah... cause on the day of judgment we will not be able to point fingers at any one else.. not even our sheikhs, imams or maulanas. May Allah (swt) give us the correct understanding of Islam and help us to abide by all aspects of it.

Friday, 8 August 2008

Caj Perkhidmatan PTPTN - Halal atau haram?


Khamis, 07 Ogos 2008 15:56


Soalan :
Baru-baru ini Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan kenyataan bahawa Caj Perkhidmatan 3.5% berasaskan jumlah pinjaman yang dikenakan kepada peminjam PTPTN adalah berlandaskan syarak, namun kami pihak pelajar masih lagi ragu-ragu kerana ada beberapa pihak menerangkan bahawa apa sahaja tambahan jika berasaskan peratusan dari jumlah pinjaman pokok ianya adalah riba, minta pihak HTM mengeluarkan Sautun Nahdhah berkenaan isu ini.


Jawapan:
“Caj Perkhidmatan PTPTN Tidak Menyalahi Hukum Syarak” - itulah tajuk yang terpampang dalam laman web JAKIM berkenaan dengan kontroversi caj perkhidmatan yang dikenakan ke atas bayaran balik pinjaman PTPN. Menurut laman web tersebut, “Muzakarah Khas tersebut diadakan khusus untuk membincangkan caj perkhidmatan yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ke atas pembiayaan pelajar-pelajar di Institusi Pengajian Tinggi. JKF telah memutuskan bahawa caj perkhidmatan yang dikenakan oleh PTPTN ke atas pelajar tidak menyalahi hukum syarak. Caj perkhidmatan ini ialah sebagai upah kepada pihak PTPTN yang telah menguruskan pembiayaan pelajaran kepada pelajar-pelajar. Muzakarah Khas tersebut juga dihadiri oleh Y. Bhg. Tan Sri Dato' Setia Ambrin bin Buang, Ketua Audit Negara yang menyampaikan taklimat khas mengenai kajian jabatan audit terhadap Pengurusan Zakat Oleh Majlis Agama Islam di seluruh negeri. Muzakarah Khas yang telah berlangsung selama tiga (3) jam ini telah dihadiri oleh S.S. Mufti Negeri-negeri, Ahli-ahli Dilantik dan turut dihadiri oleh Pegawai-pegawai Kanan JAKIM dan Pegawai-pegawai Jabatan Audit Negara serta wakil daripada PTPTN.” [Sumber Laman Web JAKIM]


Hal yang sama juga dinyatakan dalam Utusan Malaysia bertarikh 29/07/2008 dalam ruangan bertajuk Caj PTPTN tidak langgar syarak. Pengerusinya, Datuk Dr. Abdul Shukor Husin berkata, keputusan itu dicapai hasil muzakarah khas yang dipengerusikan beliau bersama wakil PTPTN di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Menurut beliau, sebelum ini caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN ialah 4% pada 1997 sebelum ia diturunkan kepada 3%. “Setelah diberi penerangan mengenai upah operasi termasuk beberapa caj lain, kita bersetuju ia tidak menyalahi syarak dan tiada halangan dari sudut syariah agar ia tidak membebankan peminjam dan pemberi pinjam (PTPTN). Jika melihat kepada prinsip, mungkin ia dapat dikurangkan sekitar satu peratus atau satu peratus setengah daripada kadar sedia ada setelah dibuat perkiraan semula termasuk mengambil kira caj upah dan operasi,” kata beliau kepada Utusan Malaysia.


Perbincangan caj perkhidmatan ini mengundang kontroversi yang mana ada pihak yang mengatakan bahawa pinjaman ini adalah riba dan ada pihak yang menafikan. Semoga tulisan ini dapat menjernihkan pemahaman kita tentang riba, dan juga kepada pihak yang sering mengangguk kepala sahaja kepada pihak pemerintah.


Kontroversi Pengumuman Awal Fatwa dan Pendapat Ahli Jawatankuasa
Mengikut laporan Mohd Asri Zainul Abidin (MAZA) selaku Mufti Perlis dan ahli jawatankuasa menyatakan bahawa, dalam mesyuarat sebelum ini di Alor Setar pada 6-7 Mei 2008 memang pihak PTPTN juga akur bahawa caj yang dikenakan berdasarkan jumlah pinjaman dan Jawatankuasa sepakat menganggapnya riba. Cumanya, Pengerusi (yang juga Naib Canselor USIM) agak keberatan mengumumkan keputusan tersebut, sebaliknya hanya menyatakan kepada media bahawa pihak PTPTN dikehendaki mematuhi garis panduan.
Sekarang telah ada Majlis Fatwa Kebangsaan (MFK) telah mengeluarkan fatwa baru tentang PTPTN, iaitu secara umumnya menganggap bahawa caj 3% itu adalah ‘upah’ untuk kendalian operasi dan juga untuk tidak membebankan penghutang dan pemiutang.


Persoalan yang kita perlu tanyakan ialah bagaimana pendapat Jawatankuasa sebelum ini yang sepakat mengatakan riba untuk caj yang dikenakan berasaskan jumlah pinjaman. Tidakkah ini termasuk dalam helah untuk melakukan ‘riba’ tetapi dinamakan ‘upah’ dan diberikan pula justifikasi untuk meringankan beban penghutang dan pemiutang?

Riba Nasiah Dalam Caj PTPTN
Jumlah caj 3% yag dikenakan sebagai kos perkhidmatan sebenarnya adalah jumlah ‘lebihan’ yang perlu dibayar oleh peminjam. Bentuk lebihan ini dikenali sebagai riba Nasiah, Meskipun beberapa pihak PTPTN sedang berhempas-pulas untuk mencampuradukkan akad ini supaya kita melihatnya dalam kaca mata Islam, atau cuba ‘mengislamkan’ akadnya dengan ditempelkan akad yang tidak ada kaitan dengannya seperti Bai, Ijarah dan Qardhul Hasan. Penempelan semacam ini sebenarnya hanyalah untuk memastikan bahawa pinjaman dalam Islam ini dapat ‘diperdagangkan’ seperti dalam sistem kapitalisme. Kos meminjam wang dalam sistem kapitalis adalah kadar bunga, sedangkan dalam Islam kos ini adalah sifar, dan sesiapa yang mengambil ‘kos’ untuk meminjamkan wang hal ini jelas termasuk riba dan seksaan neraka adalah jawapannya. Ringkasnya, di dalam Islam, jika seseorang memberi pinjam kepada saudaranya, maka haram baginya mengenakan apa jua ‘kos’, atau dengan nama apa sekalipun, dengan tujuan untuk mendapat ‘lebihan’ dari pinjaman yang diberi. Lebihan ini sebenarnya adalah riba.


Pinjaman adalah bererti pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu barang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkannya semula. Baik ariah (barang) atau qard (mata wang) yang menjadi ‘pinjaman’, pembayarannya adalah dalam kuantiti yang sama, meskipun mungkin kualitinya lebih baik. Asas utama dalam pemberian ini adalah dalam keadaan untuk ta'wun (tolong-menolong) sesama Muslim tanpa tujuan lain. ‘Pinjaman’ ini bukannya boleh dijadikan asas untuk mendapat keuntungan, kerana pinjaman bukanlah satu ‘perniagaan’ (yang boleh diambil keuntungan). Dalam sistem ekonomi kapitalis sahajalah, pinjaman dijadikan sebagai satu ‘business’ untuk mengaut keuntungan.


Justeru, kos/caj tambahan (riba) terhadap pinjaman dikenakan. Malah ia dijadikan alat untuk mendapat kekayaan dan menjanakan kekayaan, baik secara individu mahupun melalui sistem perbankan. Islam mengharamkan aktiviti ini secara mutlak, dan juga pintu-pintu untuk tujuan ini. Ini adalah aktiviti mengambil riba yang sangat jelas keharamannya.

Haramnya Mengambil Lebihan Bayaran Dari Hutang
Islam melarang pembayaran balik hutang yang melebihi kuantiti asalnya, iaitu sekiranya kita berhutang dengan RM10,000 maka kita wajib membayarnya dengan RM10,000. Haram berlaku penambahan walau 1 sen pun kerana ianya adalah riba Nasiah. Keharaman ini dapat dilihat dari hadis dan juga atsar.
Diriwayatkan dari Anas, bahawa dia ditanya tentang seorang laki-laki di antara kita yang meminjamkan harta kepada saudaranya, lalu saudaranya itu memberi hadiah kepadanya. Dia (Anas) berkata: Rasulullah Salallahu alaihi wa Sallam bersabda: “Jika salah seorang dari kalian memberi pinjaman, lalu (orang yang diberi pinjaman) memberi hadiah kepadanya atau menumpangkannya ke atas kenderaan, maka janganlah dia mengenderainya dan janganlah dia menerimanya. Kecuali, jika (perkara memberi hadiah atau memberi tumpang) itu biasa terjadi antara dia (pemberi hutang) dan dia (yang diberi hutang) sebelumnya.” [HR Ibnu Majah]


Diriwayatkan dari Anas dari Nabi Salallahu alaihi wa Sallam beliau bersabda: “Jika seseorang memberi pinjaman, maka janganlah dia mengambil hadiah." [HR Bukhari dalam Kitab Tarikhnya].
Imam Syaukani juga menambah Bukhari meriwayatkan dalam Sahihnya dari Abu Burdah bin Abu Musa, dia berkata: “Aku mendatangi Madinah dan menemui Abdullah bin Salam. Dia berkata kepadaku: “Sesungguhnya kamu berada di tanah yang riba di dalamnya tersebar. Jika kamu memiliki hak atas seseorang, lalu dia menghadiahkan kepada mu seikat jerami, atau seuncang gandum, atau segenggam makanan ruji, maka janganlah kamu mengambilnya, kerana, itu adalah riba.” [Nailul Authar V/258].
Dalam Al-Ma'rifah, Baihaqi mengeluarkan dari Fadhalah bin Ubaid: “Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah salah satu bentuk riba.” [HR Imam Baihaqi]
Harits bin Abu Usamah meriwayatkannya dari hadis Ali ra. dengan lafaz: “Sesungguhnya Nabi Sallallahu alaihi wa Sallam. melarang pinjaman yang menarik manfaat.”

Dalam riwayat lain:
“Setiap pinjaman yang menarik manfaat adalah riba.”
Juga, berdasarkan ijmak yang telah terjadi bahawa setiap pinjaman yang di dalamnya disyaratkan tambahan adalah haram.
Ibnu Mundzir berkata: “Mereka berijmak bahawa jika pemberi pinjaman mensyaratkan tambahan atau hadiah atas peminjam, lalu dia memberi pinjaman berdasarkan itu, jika dia mengambil tambahan tersebut berdasarkan itu, maka itu adalah riba.”
Diriwayatkan dari Ubay bin Ka'b, Ibnu Abbas dan Ibnu Mas'ud, bahawa mereka melarang pinjaman yang menarik manfaat.


Dari hadis dan atsar ini menjadi jelas kepada kita bahawa pinjaman yang menarik manfaat, jika tambahan di dalamnya adalah syarat, maka tidak diperselisihkan bahawa itu adalah haram. Sekiranya terdapat bayaran lebihan, ulama bersepakat menyatakannya sebagai riba an-Nasiah yang disepakati keharamannya. [Al-Jami' fi Usul al-Riba, ms 17]

Caj PTPTN - Helah Untuk Muamalah Riba
Seperti yang diterangkan di atas bahawa dalam sistem kapitalis, ‘pinjaman’ merupakan satu business/perniagaan. Inilah pandangan hidup kapitalis yang jelas tentang permasalahan ini. Namun bila ada pihak cuba untuk menghalalkan perniagaan ini dengan nama Islam, mereka terpaksa mereka-reka dan mencipta helah untuk mengambil keuntungan (atau ‘berniaga’ dengan hutang). Di sinilah mereka terkial-kial mencipta perkara baru dan fatwa baru supaya sistem kapitalis tetap berjalan dengan disaluti oleh fatwa dari Islam.


Sedangkan Islam mengharamkan helah, berasaskan dalil umum. Helah Riba ini diharamkan kerana sebenarnya mereka bersepakat untuk mengambil lebihan dari pinjaman (riba) dan dengan cara yang tidak nampak. Ini berdasarkan kaedah syarak,
“al-wasilatu ila haram, haram” (jalan membawa kepada benda yang haram adalah haram).
Sebagaimana hadis dari Ubadah bin Shamit, Rasulullah saw bersabda, “Sesungguhnya sebahagian dari Umatku menghalalkan arak dengan cara menamakannya dengan namanya tersendiri”. [HR Ahmad]


Dan dalam riwayat lain disebutkan, “menamakannya dengan nama lain” [Nizhamul Iqtisadi Fil Islam, ms 261].
Penjenamaan Caj Perkhidmatan dan lain-lain nama adalah salah satu cara untuk menjenamakan semula Riba Nasiah yang diharamkan oleh Syarak.

Kesimpulannya
Permasalahan PTPTN ini adalah satu dari masalah yang muncul apabila manusia menjadikan ideologi kapitalis sebagai hukum-hakam kehidupan. Ini kerana dalam sistem kapitalisme yang memandang bahawa semua perkara boleh diperdagangkan termasuklah harga diri.


Dalam Aspek pendidikan ini kita boleh melihat bahawa:-
(1) Pendidikan telah dijadikan ‘perniagaan’ dalam Sistem Kapitalisme, jadi kos pendidikan menjadi tanggung jawab individu dan ibu bapa. Ini menyebabkan pelajar terpaksa meminjam wang untuk membiayai pendidikan mereka. Walhal pendidikan sepatutnya menjadi tanggung jawab negara.
(2) Wujudnya pemikiran pihak tertentu yang menubuhkan PTPTN untuk mengaut keuntungan dari para pelajar, yang mana mereka ini adalah para Kapitalis yang cuba menghalalkan riba dengan menamakannya sebagai Caj Perkhidmatan, supaya menjadi halal mengikut perspektif Islam (helah riba).
(3) Pemberian fatwa yang mengelirukan dan bercanggah dalam kenyataannya di antara satu sama lain, dan tidak ada kejelasan dari segi akadnya, hanya menjadikan Islam sebagai alat menempel (kepada sistem Kapitalis), bukannya mengetengahkan Islam sebagai satu sistem yang sama sekali berlainan dengan sistem kufur yang ada. Sesungguhnya fatwa yang sepatut dikeluarkan adalah “pendidikan di dalam Islam adalah percuma dan wajib disediakan oleh kerajaan”.
Isu Caj ini adalah simptom dari sistem kapitalis dan pemikiran kapitalis, yang dianuti oleh masyarakat, ulama dan pemerintah itu sendiri, inilah masalah sebenarnya. Insya Allah dai dalam Daulah Khilafah nanti, isu PTPTN ini tidak muncul kerana pembiayaan pendidikan adalah tanggung jawab negara, dan pinjaman ribawi pastinya tidak akan wujud sama sekali. Semoga tulisan ini memberi panduan kepada seluruh umat Islam, khususnya para pelajar yang terlibat.
Last Updated ( Khamis, 07 Ogos 2008 20:34 )

No comments:

Related Posts with Thumbnails