Matla’ Syar’iyyah atau Matla Assabiyyah?
Disini aku mahu berkongsi sedikit kaedah rukyah atau hisab dalam perhitungan bermulanya puasa dan berakhirnya Ramadhan. Insya-Allah, entri ini dapat memberi penjelasan apa itu Rukyah dan apa itu Hisab. Selamat membaca.
Alhamdulillah...
Setelah hampir sebulan umat Islam di seluruh dunia berpuasa, menggapai segala fadhilat yang ada di bulan Ramadhan, bertungkus lumus sujud ke hadhrat Ilahi dan mencari satu malam yang mempunyai kelebihan 1000 bulan, sekarang kita sedang melangkah untuk meninggal bulan yang mulia ini. Tidak lama lagi Syawal akan menjelang. Umat Islam akan menyambut Eidul Fitri tanda kemenangan. Ramai yang sudah bercakap mengenainya, tidak kurang juga yang tak ambil peduli. Yang pasti, kita akan menyaksikan sekali lagi perpecahan umat Islam di dalam merayakan Hari Kemenangan ini.
Sudah sekian lamanya dunia Islam menyambut 1 Syawal tidak secara serentak walaupun Allah menciptakan bumi ini dengan bulan yang satu. Sesetengah dari kaum Muslimin pula langsung tidak mengambil kisah, hanya menurut apa sahaja yang ‘ditetapkan’ ke atas mereka tanpa ada perasaan untuk mengkaji dengan lebih mendalam tentang Fiqh dan
Pembaca yang budiman, sesungguhnya perbezaan permulaan bulan antara dunia Islam adalah kerana adanya perbezaan pendapat tentang kaedah syara’ untuk menetapkan awal Ramadhan dan Syawal, samada kaedah rukyah atau kaedah hisab (Falak). Faktor seterusnya adalah perbezaan dari segi memilih matla’ (tempat terbit anak bulan), sama ada menerima pakai Kaedah Satu Dunia Satu Matla’ atau Kaedah Matla’ Tempatan. Melihat kepada dunia Islam hari ini yang tidak diperintah oleh seorang Khalifah, maka kita menyaksikan matla’ Assabiyyah dan Wataniyyah digunapakai di dalam menentukan permulaan Syawal ini. Justeru, terjadilah perpecahan yang tak berkesudahan. Permasalahan ini sebenarnya ada penyelesaiannya jika kita berpegang kepada hukum syara’ yang kuat berasaskan Al-Qur’an dan As-Sunnah, bukannya berpegang kepada kaedah yang ditetapkan berasaskan prinsip assabiyyah dan wataniyyah. Semoga perbincangan di dalam Sautun Nahdhah kali ini akan bermanfaat kepada mereka yang rindukan perpaduan umat Islam seluruh dunia di bawah naungan syariat Islam berdasarkan Sistem Khilafah.
Satu Dunia - Satu Matla’ atau Berbeza Matla’?
Persoalan berikutnya adalah tentang matla’ (tempat terbitnya bulan). Mengenai ikhtilaaful mataali’ (perbezaan matla’) -yang digunakan sebahagian orang sebagai alasan (untuk berbeza dalam berpuasa dan ber-Eidul Fitri), ia merupakan manath (fakta untuk penerapan hukum) yang telah dikaji oleh para ulama terdahulu, yang tentunya sesuai dengan perkembangan yang ada pada waktu itu. Faktanya, kaum Muslimin saat itu memang tidak dapat menyebarkan berita rukyatul hilal ke seluruh penjuru wilayah Islam yang amat luas dalam satu hari,kerana sarana komunikasi yang terbatas. Imam Abu Hanifah, Malik dan Ahmad tidak menerima hujah perbezaan matla’ kerana penetapan puasa dan hari raya hanyalah dikira berdasarkan sampainya berita tentang rukyatul hilal, tanpa diperhatikan matla’nya. ‘Ulama Syafi’iyyah menyatakan bahawa bila satu kawasan melihat bulan, maka daerah dengan lingkungan 24 farsakh (sekitar 120 km) dari pusat rukyah boleh mengikuti hasil rukyah daerah tersebut. Sedangkan daerah di luar radius itu boleh melakukan rukyah sendiri, dan tidak harus mengikuti hasil rukyah daerah tadi [Syeikh Abdurahman al-Jaziri, al-Fiqh ‘Ala al-Madzhahib al-Arba’ah, jld. 1, hal. 550]. Mereka menyandarkan hujjah berdasarkan riwayat dari Kuraib.
Diriwayatkan dari Kuraib bahawa Ummul Fadl telah mengutusnya untuk menemui Muawiyyah di Syam. Kuraib berkata, “Aku memasuki Syam lalu menyelesaikan urusan Ummul Fadl. Ternyata bulan Ramadhan tiba sedangkan aku masih berada di Syam. Aku melihat hilal (bulan sabit) pada malam Jumaat. Setelah itu aku memasuki kota Madinah pada akhir bulan Ramadhan. Ibnu Abbas lalu bertanya kepadaku dan menyebut persoalan hilal. Dia bertanya, ‘Bila kamu melihat hilal?’ Aku menjawab, ‘Kami melihatnya pada malamJuma’at.’ Dia bertanya lagi, ‘Apakah kamu sendiri melihatnya?’ Aku jawab lagi, ‘Ya, dan orang-orang juga melihatnya. Lalu mereka berpuasa, begitu pula Muawiyyah.’ Dia berkata lagi, ‘Tapi kami (di Madinah) melihatnya pada malam Sabtu. Maka kami terus berpuasa hingga kami menyempurnakan bilangan tiga puluh hari atau hingga kami melihatnya.’ Aku lalu bertanya, ‘Tidak cukupkah kita berpedoman pada rukyah dan puasa Muawiyyah?’ Dia menjawab, ‘Tidak, (sebab) demikianlah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam telah memerintahkan kepada kami’.” [HR Muslim, at-Tirmidzi dan Abu Dawud]
Hadis ini mereka gunakan sebagai sandaran kesahihan matla’. Padahal bila kita meneliti lebih lanjut pendapat para pengamal matla’, kita akan dapati sesungguhnya pendapat mereka adalah lemah. Ini didasarkan kepada beberapa sebab:
Pertama : sebenarnya dalil yang mereka gunakan adalah ijtihad Ibnu ‘Abbas, bukannya hadis yang diriwayatkan secara marfu’ (sanadnya bersambung kepada Nabi). Walaupun hadis ini secara lafziyyah seakan-akan menunjukkan marfu’, yakni perkataan Ibnu ‘Abbas, “Tidak, (sebab) demikianlah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam telah memerintahkan kepada kami”, namun bila kita bandingkan riwayat-riwayat lain yang juga diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas sendiri, maka terlihatlah bahawa perkataan Ibnu ‘Abbas itu adalah hasil ijtihad beliau sendiri. Ibnu ‘Abbas sendiri banyak meriwayatkan hadis marfu’ yang bertentangan dengan hadis riwayat dari Kuraib di atas. Seperti riwayat dari Ibnu ‘Abbas dari Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Berpuasalah kalian kerana melihatnya (hilal) dan berbukalah kalian kerana melihatnya (hilal). Apabila pandangan kalian tersamar (terhalang), maka sempurnakanlah hitungan bulan Sya’ban menjadi 30 hari.” [HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah ra]. Atas dasar ini, jelas bahawa hadis dari Kuraib adalah ijtihad peribadi Ibnu ‘Abbas pada waktu itu. Ijtihad sahabat tidak layak digunakan sebagai dalil untuk menetapkan hukum. [Imam asy-Syaukani, Nailul Authar, jilid 3 hal. 254-255], kerana hukum wajib diambil dari dalil Al-Qur’an dan As-Sunnah. Bila ada pertentangan di antara hadis Nabi dan ijtihad sahabat, maka sudah semestinyalah kita wajib mengambil hadis Nabi. Walaubagaimanapun, sahabat tetap mendapat satu ganjaran di atas ijtihadnya.
Kedua : hadis tentang perintah rukyah bersifat umum, dan khithab (seruannya) berlaku bagi seluruh kaum Muslimin. Kata shûmû lirukyatihi adalah lafaz umum. Ertinya, bila satu daerah telah melihat bulan, maka wilayah yang lain harus berpuasa kerana hasil rukyah daerah tersebut. Imam asy-Syaukani menyatakan, “Sabda Nabi ini tidaklah dikhususkan untuk penduduk satu daerah tertentu tanpa menyertakan daerah yang lain. Bahkan sabda beliau ini merupakan khitab (seruan) yang tertuju kepada siapa sahaja di antara kaum Muslimin yang khitab itu telah sampai kepadanya. Apabila penduduk suatu negeri telah melihat hilal, maka (dianggap) seluruh kaum Muslimin telah melihatnya. Rukyah penduduk negeri itu berlaku pula bagi kaum Muslimin lainnya.”
Imam asy-Syaukani menyimpulkan, “Pendapat yang layak dijadikan pegangan adalah, apabila penduduk suatu negeri telah melihat hilal, maka rukyah ini berlaku pula untuk seluruh negeri-negeri yang lain.” [Lihat pula pendapat Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Fâth al-Bârî; bab Shiyâm]. Oleh kerana itu bila sahaja penduduk suatu negeri melihat hilal, maka wajib atas seluruh negeri berpuasa kerana sabda Rasulullah
Sallallahu ‘alaihi wa Sallam “Berpuasalah kalian kerana melihat hilal dan berbukalah kerana melihatnya.” Ucapan ini umum mencakup seluruh umat manusia. Jadi siapa saja dari mereka melihat hilal di manapun tempatnya, maka rukyah itu berlaku bagi mereka semuanya [Sayyid Sabbiq, Fiqh as-Sunnah, jld. 1, hal. 368]. Syaikh ‘Abdul ‘Aziz bin Baz menjelaskan masalah ini ketika ditanya apakah manusia harus berpuasa jika matla’nya berbeza? Beliau menjawab, “yang benar adalah bersandar pada rukyah dan tidak menganggap adanya perbezaan matla’ kerana Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam memerintahkan untuk bersandar dengan rukyah dan tidak merinci pada masalah itu. Nabi tidak mengisyaratkan kepada perbezaan matla’ padahal beliau mengetahui hal itu.” [Tuhfatul Ikhwan, hal. 163].
Ketiga : penolakan Ibnu ‘Abbas ra terhadap rukyahnya Mu’awiyyah boleh difahami, bahawa arus maklumat rukyah saat itu memang tidak cepat tersiar ke negeri-negeri kaum Muslimin yang lain. Ini boleh difahami kerana, alat-alat pengangkutan (kenderaan) dan telekomunikasi pada saat itu sangat terbatas dan lambat. Akibatnya, maklumat rukyah di satu daerah kadang-kadang baru sampai sehari atau lebih. Melihat keadaan ini, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan para sahabat membiarkan
daerah-daerah yang jauh untuk tidak terikat dengan hasil rukyah penduduk Madinah mahupun Mekah, mahupun negeri-negeri yang lain, kerana halangan-halangan jarak. Imam asy-Sya’rani menuturkan, “Para sahabat ra tidak memerintahkan suatu negeri untuk mengikuti hasil rukyah penduduk Madinah, Syam, Mesir, Maghribi, dan sebagainya.” [Imam asy-Sya’rani, Kasyf al-Ghummah ‘An Jami’ al-Ummah, jld. 1, hal. 250.]
Pada saat ini, sarana komunikasi yang ada di seluruh dunia sudah terlalu canggih untuk menyebarluaskan berita rukyatul hilal ke seluruh penjuru dunia hanya dalam beberapa saat sahaja. Oleh kerana itu, kaum Muslimin wajib mula berpuasa ataupun ber-Eidul Fitri pada saat mendengar berita penetapan rukyatul hilal dari daerah mana pun di muka bumi ini. Tidak ada bezanya samada rukyah ini ditetapkan melalui penglihatan langsung, ataupun melalui berbagai alat optik yang dapat memperbesar dan mendekatkan objek (seperti teleskop). Yang penting adalah hilal telah disaksikan oleh kaum Muslimin, tidak kira dari matla’ mana sekalipun.
Keempat : perbezaan matla’ jika ditinjau secara ‘aqli
pun adalah sangat janggal. Daerah yang terletak dalam satu garis bujur seharusnya boleh memulakan puasa atau hari raya pada hari yang sama. Ini adalah kerana, daerah yang terletak dalam satu garis, sejauh manapun jaraknya tidak akan berbeza atau berselisih waktu. Namun, faktanya dengan adanya negara-negara bangsa, daerah-daerah
yang terletak satu garis bujur mula berpuasa atau berhari raya tidak serentak, padahal secara astronomi seharusnya mereka akan bermula secara bersamaan. Sebagai contoh, Kota Damsyik berada di garis longitud 36º 18’ T, dan Masjid Nabawi di Madinah berada pada 39º 36’ T yang mana secara geografi, waktu Masjid Nabawi lebih cepat selama 3º 18’ (50 minit sahaja) dari Kota Damsyik. Hakikatnya, bagi daerah-daerah di dunia yang berbeza dari segi garis longitudnya, selisih waktu terjauh tidak sampai sehari. Maksudnya, negara-negara tersebut tidak mungkin mengalami selisih waktu lebih dari sehari. Jadi bagaimana mungkin mereka menyambut 1 Ramadhan atau 1 Syawal pada hari yang berbeza? Dengan kata lain, adanya matla’ memungkinkan suatu daerah berbeza dengan daerah lain, bagaimanapun, secara astronomi mustahil terjadi perselisihan dan perbezaan pendapat dalam menentukan 1 Ramadhan atau Syawal. Kenyataan seperti ini
membuktikan bahawa kaedah matla’ ini tidak layak dipakai.
Tambahan lagi, jika benar-benar diambil kaedah matla’ dan 24 farsakh (120 km) ini, maka jika di Johor nampak anak bulan, di Kedah tidak sepatutnya berpuasa, jika anak bulan nampak di Terengganu, maka Melaka tidak seharusnya berhari raya dan jika anak bulan nampak di Golok atau Tak Bai (selatan Thai) maka umat Islam di Rantau Panjang (Kelantan) dan sekitarnya sepatutnya berhari raya. Tetapi ternyata tidak demikian halnya. Kenapa? Kerana sempadan negara bangsalah (nation state) yang sebenarnya dijadikan ukuran, bukannya
matla’, tetapi mereka berdalih berpegang kepada pendapat Imam Syafie’! Walhal Imam Syafie sendiri tidak pernah membeza-bezakan umat Islam berdasarkan sempadan negara. Jelas bahawa para pemerintah kaum Muslimin menetapkan 1 Ramadhan atau Syawal bukannya berasaskan sempadan matla’ atau mengikut jejari lingkungan matla’ mereka, namun mereka menentukan permulaan puasa dan hari raya hanya berasaskan sempadan Negara Assabiyyah semata-mata. Inilah yang mendukacitakan kita, syara’ hanya dijadikan dalih (bukan dalil) di dalam menetapkan tarikh puasa dan Eidul Fitri.
Dalam sejarah pernah dinukilkan bahawa para khalifah dari Kekhilafahan Utsmaniyyah telah mengadopsi pendapat madzhab Hanafi yang menyatakan, “Perbezaan matla’ tidak diakui. Penduduk Timur wajib terikat dengan hasil rukyah penduduk Barat, jika rukyah berhasil mereka tetapkan berdasarkan cara-cara yang telah ditentukan.” [al-Darr al-Mukhtar wa Radd al-Muhtar, jld. 2, hal. 131-132]
Khatimah
Wahai kaum Muslimin! Tidak adanya kesatuan rukyatul hilal hanyalah salah satu dari sekian banyak masalah yang dihadapi oleh kaum Muslimin kerana lenyapnya negara Khilafah Islamiyyah, yang mengatur urusan kaum Muslimin dengan hukum Islam, serta menyatukan mereka di bawah panji Laa ilaaha illa Allah Muhammad Rasulullah. Kaum Muslimin wajib mengikatkan diri dengan hukum syara’, baik dalam mengawali puasa Ramadhan mahupun Eidul Fitri, serta dalam segala aktiviti mereka, sekalipun penguasa mereka tidak menerapkan hukum syara’. Sebab tidak ada ketaatan kepada makhluk (manusia) dalam perkara maksiat kepada AI Khaliq. Oleh kerana itu, apabila berita rukyatul hilal untuk bulan Ramadhan telah sampai kepada kalian dari tempat mana pun juga di muka bumi, maka kalian wajib berpuasa. Begitu pula apabila berita rukyatul hilal untuk bulan Syawal telah sampai kepada kalian dari penjuru mana pun jua di muka bumi ini, maka kalian wajib ber-Eidul Fitri. Haram hukumnya berpuasa pada Hari Raya.
Sesungguhnya pemecahan mendasar terhadap seluruh masalah kaum Muslimin hari ini berada di tangan kaum Muslimin itu sendiri. Yaitu mereka wajib berusaha secara bersungguh--sungguh, mengikut jalan kenabian bersama para pengembang dakwah yang ikhlas untuk melanjutkan kembali kehidupan Islam, dengan jalan menegakkan kembali negara Khilafah Islamiyyah, membai’at seorang Khalifah yang akan mempersatukan kembali negeri-negeri mereka, dan menerapkan syariat AllahSubhanahu wa Ta’ala ke atas mereka. Hanya Khalifahlah yang akan mengangkat segala perselisihan umat Islam serta menyelesaikan ribuan masalah kaum Muslimin di dunia saat ini, sekaligus membawa rahmat bagi seluruh alam dengan jalan dakwah dan jihad. Insya Allah.
p/s: Nak tanya korang, di Malaysia kita guna pendapat dari Imam mana ek? Pendapat Imam Syafie? Hohoho, adakah disebabkan ”jarak”; Malaysia, Indonesia, Mesir dan lain-lain adalah jauh, melebihi 120KM?..Tetapi, bagaimana keadaan (kedudukan & jarak) di antara negeri-negeri di Malaysia, lebih jugak 120KM. Malah kita boleh bersama-sama puasa & raya di sebabkan komunikasi yang ada pada hari ini. Jangan kerana ada Assabiyyah(perkauman) disebabkan ada ”putus-putus” garisan sempadan, menyebabkan kita berbeza pendapat. Apabila mengambil suatu pendapat, ambillah yang mana ”berat”. Contoh dalam situasi ini, 3:1. So dengan keadaan sekarang, dengan teknologi yang canggih manggih, kita perlu amek dari pendapat yang terkuat. Wallahualam
1 comment:
Alhamdulillah...
Terima kasih atas penjelasan yang anta berikan..
Setelah membaca entri ini, baru ana tersedar kita berbeza diantara dengan umat Islam yang lain disebabkan garisan pemisah yang direka oleh penjajah. Sebelum ini ana ber"pegang" pada mazhab Syafie yakni hanya merujuk pada pendapat beliau sahaja. Meskipun ana mengetahui peredaran masa dinegara-negara Islam cuma selama 1-2 jam sahaja. Sebagai contoh waktu solat. Syabas ana ucapkan atas penjelasan ini.
Post a Comment