From Qur'an || From Hadith

From Qur'an Surah Al-An'am (The Cattle) 6:164

Say: "Shall I seek a lord other than Allah, while He is the Lord of all things? No person earns any (sin) except against himself (only), and no bearer of burdens shall bear the burden of another. Then unto your Lord is your return, so He will tell you that wherein you have been differing."

None can bare the burden of another... meaning each of us are responsible for our own actions in this life. we better be sure that we are following the correct understanding of Islam, within the guidelines of the Qur'an and the Sunnah... cause on the day of judgment we will not be able to point fingers at any one else.. not even our sheikhs, imams or maulanas. May Allah (swt) give us the correct understanding of Islam and help us to abide by all aspects of it.

Tuesday 29 September 2009

Hukum Memutuskan Hubungan (Muqatha’ah) Sesama Muslim


Soalan:
Apakah hukumnya mereka yang memutuskan hubungan atau memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim? Adakah dengan muqata’ah tersebut bererti dalam masa yang sama mengkafirkan seseorang? Jika tindakan tersebut dikaitkan dengan tindakan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan beberapa orang sahabat, adakah tindakan tersebut hanya boleh dilakukan di peringkat negara atau ia merupakan hak semua orang?


Jawapan:
Pertama, perlu diketahui bahawa memutuskan hubungan ataupun memboikot (muqatha’ah) sesama Muslim merupakan hukum syarak yang dilaksanakan dalam menyelesaikan masalah tertentu yang terjadi dalam hubungan sesama Muslim. Hukum ini tiada kaitannya dengan persoalan takfir (mengkafirkan) seseorang Muslim. Dalam erti kata lain, orang yang diboikot tidak jatuh kafir. Sebaliknya dia kekal Muslim, cuma disebabkan oleh tindakan tertentu yang dilakukannya, maka hukum muqatha’ah itu dikenakan terhadapnya.

Dalam konteks inilah Ibn Bathtal menyatakan bahawa Allah telah mengatur hukum-hukum yang mengandungi kemaslahatan bagi hamba-hambaNya. Dia Maha Mengetahui tentang urusanNya, maka manusia harus tunduk kepada perintahNya dalam urusan tersebut. .[1]

Kedua, terdapat hadis yang melarang perbuatan memutuskan hubungan (muqata’ah) dengan sesama Muslim, antara lain sabda baginda sallallahu ‘alaihi wassalam:

لاَ يَحِلُّ لِمُسْلِمٍ أَنْ يَهْجُرَ أَخَاهُ فَوْقَ ثَلاَثِ لَياَلٍ (رواه البخاري)

“Tidaklah halal bagi seorang Muslim untuk meninggalkan saudaranya lebih dari tiga malam.” (HR Bukhari)

Maksud ‘an yahjura’ atau ‘masdar-nya hajr’ adalah lawan kepada perkataan ‘wasl’, atau memutuskan hubungan.[2] Secara harfiah (mantuq), hadis ini melarang seseorang Muslim daripada memutuskan hubungan sesama Muslim lebih daripada tiga hari. Daripada hadis ini juga diketahui bahawa berdasarkan mafhum mukhalafah, bahawa memutus hubungan sesama Muslim dibolehkan kurang daripada tiga hari. [3]

Sungguhpun demikian, larangan tersebut dikecualikan terhadap orang yang melakukan maksiat. Dalam kitab Fath al-Bari: Syarh Sahih al-Bukhari, Ibnu Hajar al-Asqalani dalam bab: Ma Yajuzu min al-Hijran liman ‘Asa (Memutus Hubungan yang Diperbolehkan terhadap Orang yang Bermaksiat) menyatakan: Dengan penjelasan ini, beliau (al-Bukhari) ingin menjelaskan hukum memutuskan hubungan yang diperbolehkan. Kerana umumnya, larangan tersebut sebenarnya hanya berlaku untuk orang yang diputuskan hubungannya tanpa alasan yang dibenarkan syariat. Oleh itu, jelaslah bahawa dibenarkan memutuskan hubungan terhadap orang yang melakukan maksiat. [4]

Ibnu al-Mulhib menyatakan bahawa memutuskan hubungan yang dibenarkan itu mempunyai kepelbagaian, sesuai dengan kadar kesalahannya. Bagi orang yang melakukan maksiat, maka dibolehkan untuk memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengannya, sebagaimana dalam kisah Ka’ab bin Malik dan dua orang temannya (Murarah dan Hilal). Sekiranya marah terhadap keluarga atau kawan, boleh memutuskan hubungan dengan tidak menyebut nama atau bermasam muka, tetapi masih bercakap, memberi dan menjawab salam kepadanya. [5]

Menurut at-Thabari, peristiwa yang terjadi terhadap Ka’ab bin Malik adalah dasar untuk memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat. [6] Dalam huraiannya, Ibnu Hajar mengulas kenyataan Abdullah bin Zubair, ketika dikenakan muqatha’ah oleh ‘Aishah, “ fainnahu la yahillu laha qathi’athi (Maka, tidak halal baginya untuk memutus hubungan kekeluargaan denganku), dengan menyatakan bahawa: Jika memutuskan hubungan denganku sebagai hukuman atas dosaku, maka ia pasti akan berpanjangan. Jika tidak, maka memutuskan hubungan secara berkekalan itu akan menyebabkan terputusnya silaturrahim. Menurut Ibnu Hajar, alasan ‘Aisyah berbuat demikian adalah kerana Abdullah bin Zubair yang masih merupakan anak saudaranya itu telah melakukan kesalahan yang besar. Menurutnya lagi, ‘Aisyah melakukan demikian kerana tindakan memutuskan hubungan dengan cara tidak bercakap dengan Abdullah bin Zubair itu memang dibolehkan, sebagaimana yang dilakukan Nabi sallallahu ‘alaihi wassalam terhadap Ka’ab dan dua orang temannya sebagai hukuman terhadap kemaksiatan mereka. [7]

Oleh itu telah difahami oleh para sahabat radhiallahu ‘anhum, termasuk ‘Aisyah dan Abdullah bin Zubair bahawa tindakan Nabi terhadap Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal itu bukanlah hanya hak ketua Negara semata-mata, sebaliknya tindakan muqatha’ah yang dilakukan oleh ‘Aisyah menunjukkan bahawa tindakan tersebut boleh dilakukan oleh sesiapapun.

Imam an-Nawawi juga menjelaskan bahawa hadis yang memerintahkan untuk memutuskan hubungan dengan ahli bidaah, orang fasik [8] dan para musuh Sunnah itu begitu banyak sekali dicatatkan. Jadi menurut beliau, perbuatan memutuskan hubungan secara berkekalan turut dibenarkan. Oleh itu, larangan memutuskan hubungan dengan kaum Muslimin lebih daripada tiga hari itu tidak meliputi ahli bidaah, orang fasik dan yang seumpama dengannnya. Para sahabat, tabi’in dan generasi berikutnya sentiasa memutuskan hubungan dengan sesiapa sahaja yang melanggar sunnah atau orang yang rosak percakapannya (mafsadah).

Ibnu ‘Abd al-Barr juga menyatakan perkara yang sama bahawa para ulama’ telah bersepakat, barangsiapa yang khuatir berbicara dengan seseorang, di mana dengan berbicara dengannya itu boleh menyebabkan rosak agamanya atau memudaratkan urusan dunianya, maka dia dibenarkan untuk memutuskan hubungan dengan orang tersebut. [9]

Ketiga, apabila menyentuh berkenaan perbuatan memberi dan menjawab salam dalam konteks muqatha’ah, maka hukumnya dikembalikan kepada alasan mengapa dikenakan muqatha’ah tersebut. Jika alasannya bukan atas sebab maksiat, sebaliknya disebabkan oleh kerana marah terhadap keluarga atau teman, maka tetap diperintahkan untuk memberi dan menjawab salam. [10] Namun jika alasan muqatha’ah berpunca daripada perbuatan maksiat yang dilakukan, dan si pelaku itu jatuh sebagai seorang fasik, maka ketetapan memberi dan menjawab salam tidak diperintahkan. Dalam kitab Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Sayid Salih bin Ahmad al-Idrus menjelaskan: Salam kepada orang fasik, ahli bida’ah, dan pelaku dosa besar tidak disunahkan. Bahkan, tidak sepatutnya memberi dan menjawab salam mereka. [11] Imam as-Suyuthi juga menyatakan pandangan yan hampir sama. [12]

Sebagaimana yang telah dijelaskan oleh at-Thabari, dasarnya hendaklah dikembalikan kepada tindakan Nabi sallallahi ‘alaihi wassalam dan para sahabat radhiallahu ‘anhum yang tidak memberi dan menjawab salam Ka’ab bin Malik, Murarah dan Hilal. Inilah dalil dalam memutuskan hubungan dengan orang yang melakukan maksiat [13]. Wallahu’alam
________________________________________
[1] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Bait al-Afkar ad-Duwaliyyah, Saudi, t.t., juz III, hal. 2671.
[2] Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz V, hal. 250.
[3] Imam an-Nawawi, Syarh Sahih Muslim, Dar al-Fikr, Beirut, t.t., juz XVI, hal. 117.
[4] Ibn Hajar al-Asqalani, Ibid, juz III, hal. 2671.
[5] Ibid, juz III, hal. 2671.
[6] Ibid, juz III, hal. 2671.
[7] Ibid, juz III, hal. 2670-2671.
[8] Tentang Ahli bidaah dan penyerang sunnah sudah jelas, maka tidak perlu dijelaskan lagi. Tetapi berkenaan orang fasik, penting untuk dijelaskan. Perkataan fasaqa, menurut Ibn Manzur, ertinya keluar dari kebenaran. Menurut istilah ahli fikih, fisq (masdar dari fasaqa), adalah tindakan melakukan dosa besar dengan sengaja, atau terus-menerus melakukan dosa kecil, yang tidak perlu ditakwilkan lagi. Tidak taat kepada amir adalah bentuk kemaksiatan yang disamakan dengan tidak mentaati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wassalam (HR Ahmad, Ibn ‘Iwanah, Ibn Hibban dan Ibn Huzaimah). Dengan kata lain, tidak taat kepada amir merupakan dosa besar. Tindakan tidak taat kepada amir itu saja, menurut definisi fasik di atas, sudah cukup menjadikan pelakunya sebagai orang fasik, apatah lagi ketidaktaatan tersebut dilakukan dengan bangganya tanpa perasaan bersalah. Bahkan, kemudian menyebarkan fitnah bahawa amirnya bermaksiat. Bukan setakat itu, orang tersebut juga memprovokasi orang lain untuk melawan amirnya, sebagaimana yang dia lakukan. Maka, orang tersebut telah melakukan tiga dosa besar sekaligus: (1) Dosa tidak taat kepada amir; (2) Dosa memfitnah amir dengan sesuatu yang sebenarnya tidak dia lakukan; (3) Dosa memprovokasi orang lain untuk melakukan tentangan terhadap amirnya. Terhadap orang seperti ini berlaku hukum muqatha’ah di atas, termasuk perintah untuk memeriksa semua informasi yang bersumber dari orang tersebut. Lihat, Ibn Mandzur, Lisan al-‘Arab, juz X, hal. 308; Rawwas Qal’ah Jie, Mu’jam Lughat al-Fuqaha’, Dar an-Nafais, Beirut, cet. I, 1996, hal. 315.
[9] Lihat, Tanwir al-Hawalik, juz I, hal. 655.
[10] Ibid, juz III, hal. 2671.
[11] Al-‘Alim al-Usuli as-Sayid Shalih bin Ahmad al-‘Idrus, Faidh al-‘Allam fi Syarh Arba’ina Haditsan fi as-Salam, Mathba’ah ar-Rushaifah, Malanj, Indonesia, t.t., hal. 9.
[12] Lihat, Syamsuddin ar-Ramli, Nihayat al-Muhtaj Ila Syarh al-Minhaj, t.t., juz XXVI, hal. 366.
[13] Lihat, Ibn Hajar, Ibid, juz III, hal. 2671.

Sumber : www.hizbut-tahrir.or.id

No comments:

Related Posts with Thumbnails